Ketua Pemuda PAS Selangor dipanggil polis

Ketua Pemuda PAS Selangor dipanggil polis

KETUA Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam semalam.

Ia dipercayai berkaitan hantaran di Facebooknya yang menyebut akan mengadakan perhimpunan besar-besaran jika siasatan diteruskan terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurut Mohamed Sukri, telefon bimbitnya turut dirampas untuk siasatan.

“Alhamdulillah saya telah memberi keterangan pada pihak PDRM ditemani peguam Saudara Amzar. Telefon bimbit saya telah dirampas untuk siasatan.

“Terima kasih teman-teman hadir menyokong dan pihak media yang membuat liputan. Kita berani kerana benar. #DemiUmmahKitaBerjuang,” tulisnya di Facebook.

Beliau juga mengingatkan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak fokus membela rakyat, tetapi sibuk membuat laporan polis terhadap musuh politik.

“Kerajaan Campuran PH + BN lupa tugas sebagai sebuah kerajaan. Kalau kerja nak lapor polis sepanjang masa, lebih baik jadi Ayahanda Rani Kulop, tak perlu jadi kerajaan,” katanya.-Malaysiapost

Komen