KKM lancar program Miracle Baby di HPP

KKM lancar program Miracle Baby di HPP

BAGI mengatasi masalah kekurangan kepakaran dalam pembedahan jantung berlubang dan masalah kongenital, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil inisiatif melancarkan program ‘Miracle Baby’ di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata program berkenaan adalah hasil kerjasama strategik antara KKM, Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) dan Hospital Sri Sathiya Sai Sanjeevani (SSSSH), India.

Menurutnya, ia bagi membolehkan perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak kompleks dijalankan di HPP.

Beliau berkata, setiap tahun dianggarkan 5,000 bayi dilahirkan dengan penyakit jantung berlubang dan kongenital di Malaysia dan kebanyakannya memerlukan rawatan pembedahan jantung yang memerlukan kepakaran yang kompleks.

“Kerjasama strategik KKM, UTAR dan SSSSH India ini bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan pembedahan jantung kompleks kanak-kanak yang berkualiti dan akan diteruskan sebagai satu inisiatif bantuan kemanusiaan, keprihatinan dan kebajikan pesakit dan ibu bapa.

“Melalui program ini, pakar-pakar jantung di HPP akan bekerjasama dengan pasukan pembedahan dari SSSSH India untuk melakukan pembedahan jantung, manakala pihak UTAR pula bertindak untuk menyelaraskan urusan logistik dengan bantuan dan sokongan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, program rintis berkenaan telah bermula pada 28 November lalu dan sedang berlangsung selama dua minggu.

“Sehingga hari ini, seramai 12 pesakit termasuk tiga dari Sabah telah dihantar ke HPP untuk menjalani rawatan.

“Program ini dikatakan pasukan Pakar Pembedahan Kardiotorasik HPP diketuai Datuk Dr Basheer Ahamed Abdul Kareem dan dibantu Dr Abu Yamin Kamis, Dr Mohamad Hanafi Mohd dan Dr Mohammad Tamim Jamil. Manakala pasukan SSSSH pula diketuai Dr Krishna Manohar, dan Dr Subramaniam Chellappan,” katanya.

Menurutnya, untuk makluman KKM sebelum ini telah menaja pesakit-pesakit untuk menjalani rawatan pembedahan di luar negara dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan bagi menangani masalah kekurangan slot rawatan pembedahan di Malaysia sebelum perbincangan lanjut berjaya melaksanakan inisiatif melalui program Miracle Baby.

“Program ini dijangka akan memberi manfaat kepada kanak-kanak tempatan dan ibu bapa dengan kos minimum serta membolehkan pemindahan pengetahuan, kepakaran, kemahiran serta latihan kepada pakar-pakar dan paramedik di KKM.

“Aktiviti ini juga diharap dapat memangkinkan hasrat KKM untuk memulakan perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak dalam skala lebih besar di Hospital Seberang Jaya yang dijangka siap lewat 2023,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga pihak KKM, UTAR dan SSSSH yakin program berkenaan akan berjaya membantu usaha menambah baik perkhidmatan kesihatan negara terutama dalam pembedahan jantung kanak-kanak. – Malaysiapost

Komen