Langkah pengasingan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya bermula

Langkah pengasingan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya bermula

JABATAN Peguam Negara (AGC) akan menyediakan satu kertas pelan pengubahsuaian bagi pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perkara itu telah dibincangkan dalam pertemuan dengan AGC diketuai Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin bin Mohd Salleh.

“Ini langkah pertama ke arah pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya

“Saya berharap kerjasama baik antara AGC dan pihak kami di pejabat Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi akan membuahkan hasil secepat mungkin, Insya Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Pada Januari tahun lalu, Azalina dilaporkan berkata kontroversi buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas membuktikan keperluan kerajaan menyegerakan pengasingan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara.

Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu berkata, langkah sedemikian penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi itu.

Katanya, fungsi AG yang berperanan memberi nasihat perundangan kepada kerajaan selain menjadi ketua pendakwa raya telah mencetuskan situasi yang menjurus kepada berlakunya konflik berkepentingan. – Malaysiapost

Komen