Laporan OIC tiada masalah Islamofobia di Malaysia – Kit Siang

Laporan OIC tiada masalah Islamofobia di Malaysia – Kit Siang

LIM Kit Siang mahu Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengemukakan bukti atau menarik semula tuduhannya yang mengatakan DAP mempromosikan Islamofobia.

Veteran DAP itu berkata, ia susulan Laporan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) setebal 428 muka surat mengenai Islamofobia membabitkan kajian dari Disember 2020 sehingga Januari 2022 tidak menunjukkan sebarang masalah Islamofobia di Malaysia.

Menurut Kit Siang, laporan OIC itu diterbitkan oleh Pemerhati Islamofobia OIC, satu badan khusus di bawah Jabatan Hal Ehwal Politik Urusetia OIC.

“Pemerhati Islamofobia OIC memantau perkembangan Islamofobia setiap hari, dengan mengikuti trend semasa dan melakar gambaran perkembangan situasi yang berkaitan dengan Islamofobia membangun dari semasa ke semasa.

“Islamofobia adalah masalah besar, bukan sahaja kepada dunia Islam, tetapi kepada dunia, kerana melainkan apabila agama-agama utama dunia dapat hidup bersama dengan aman, harmoni, dan bekerjasama di antara satu sama lain, tidak akan ada keamanan dan keharmonian di dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, cabaran sekarang adalah untuk tidak terpedaya dengan ketoksikan penipuan, fitnah, dan berita palsu baik dari segi perkauman mahupun keagamaan.

“Pemimpin DAP bersedia untuk dicabar untuk membuktikan tuduhan mereka. Adakah pemimpin PAS bersedia untuk membuktikan tuduhan mereka atau bersifat merendah diri untuk menarik semula tuduhan yang tidak dapat di buktikan mereka?

“Dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Abdul Hadi meminta orang Melayu-Islam untuk memahami hakikat politik dan untuk memilih di antara pemerintahan orang Islam dan bukan Islam.

“Menggunakan analogi pengembala, Abdul Hadi bertanya sekiranya orang Melayu-Islam dalam negara “rela menjadi penternak lembu atau penternak babi”,” katanya.

Menurutnya, rakyat Malaysia, sama ada Islam atau bukan, tidak mahu menjadi penternak lembu atau babi.

“Kita mahukan sebuah Malaysia yang bertaraf dunia, yang dapat mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya.

“Abdul Hadi mahu rakyat Malaysia memilih menjadi penternak lembu atau penternak babi, tetapi rakyat Malaysia mahu bergerak ke hadapan dan mencapai cita-cita menjadi satu daripada negara terbaik di dunia,” katanya. – Malaysiapost

Komen