Michelle Yeoh dinobat Ikon Tahun 2022 majalah Time

Michelle Yeoh dinobat Ikon Tahun 2022 majalah Time

BINTANG Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai Ikon Tahun 2022 oleh majalah antarabangsa Time.

Ia sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan besar aktres berusia 60 tahun itu kepada industri perfileman global.

Melalui hantaran Instagram, Time mendedikasikan penghargaan khas buat anak seni kelahiran Ipoh, Perak itu yang juga ikon paling berpengaruh Asia sejak berdekad lalu.

Kapsyen hantaran tersebut memperakui Yeoh sebagai kuasa besar dalam era kegemilangan filem aksi Hong Kong menerusi pembabitan dalam naskhah aksi selain mempunyai keberanian melakukan lagak ngeri.

Satu persatu pencapaian serta perincian penampilan Yeoh dalam setiap naskhah besar dikupas termasuk filem ‘box office’, Everything Everywhere All at Once yang ditayangkan Mac lalu.

Filem tersebut menyaksikan Yeoh melakonkan watak isteri dan ibu yang mahu menyelamatkan dunia sekali gus meletakkan aktres berkenaan dalam senarai pelakon nombor satu Hollywood.

Penampilannya dalam filem indie arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert tersebut dianggap detik dinantikan, malah ramai percaya Yeoh bakal menggenggam Oscar melalui watak dibawanya.

Hantaran tersebut turut memetik temu bual aktres tersohor itu, antara lainnya mendedahkan dia menyedari hal berkenaan serta rasa diberkati.

“Saya ada memikirkannya. Bukan diri sendiri sahaja, saya fikir seluruh komuniti Asia turut memikirkannya. Mereka datang kepada saya dan beritahu, kamu melakukan ini untuk kami,” katanya.

Pada Ogos lalu, Yeoh yang membintangi lebih 70 filem sejak empat dekad lalu menjadi artis Asia pertama menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam seni halus dari Institut Filem Amerika (AFI), Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Terdahulu, kerjaya seninya bermula selepas memenangi pertandingan Miss Malaysia World ketika berusia 20 tahun, seterusnya mewakili negara ke pertandingan Miss World 1983 di London, United Kingdom (UK) pada tahun yang sama. – Malaysiapost

Komen