Pembawaan Anwar masih seperti Ketua Pembangkang – Marzuki

Pembawaan Anwar masih seperti Ketua Pembangkang – Marzuki

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta agar tidak terbawa-bawa dengan peranannya sebagai Ketua Pembangkang sebelum ini dan segera bertindak sebagai pemimpin negara.

Perkara itu disuarakan Datuk Dr Marzuki Mohamad yang juga bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau secara sinis berpandangan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri sebagai Perdana Menteri.

“Pembawaan Datuk Seri sejak beberapa hari ini kelihatan masih seperti Ketua Pembangkang. Tak mengapa. Tapi jangan lama-lama.

“Rakyat tak boleh tunggu lama. Mulai minggu depan, Datuk Seri mesti kelihatan seperti Perdana Menteri yang sebenar. Apa yang Datuk Seri patut buat minggu depan? katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Marzuki turut memberikan nasihat mengenai apa yang Perdana Menteri ke-10 itu boleh lakukan selain daripada mencari kesalahan kerajaan terdahulu.

“Hari Isnin minggu depan, seeloknya Datuk Seri mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTE). Dapatkan petunjuk-petunjuk terkini ekonomi semasa daripada Kementerian Kewangan (MOF), Bank Negara Malaysia (BNM) dan mungkin juga Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Selain itu, boleh minta beberapa kertas dibentangkan mengenai “way forward” ekonomi Malaysia, khususnya dalam menghadapi kemungkinan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih perlahan tahun hadapan. Jadikan MTE sebagai mesyuarat mingguan,” katanya.

Menurutnya, sebelum itu keanggotaan MTE yang terdiri daripada Menteri-Menteri berkaitan ekonomi, wakil-wakil agensi kerajaan dan pakar-pakar ekonomi yang mewakili industri serta cendekiawan perlu dipilih membabitkan kumpulan kecil sahaja.

“Datuk Seri juga boleh pengerusikan mesyuarat National Cost of Living Council (NACOL). Hari tu Dato’ Seri minta pegawai kerajaan sediakan cadangan. Sekarang kabinet dah dibentuk, biarlah Menteri yang berkaitan bincang dengan pegawai apa yang nak dibentang kepada NACOL.

“Jangan lupa Bajet 2023. Takkan nak terima saja Bajet Barisan Nasional (BN) yang dibentangkan dulu? Jadi, minggu depan sebagai Menteri Kewangan buatlah kenyataan sedikit mengenai teras-teras utama Bajet 2023,” katanya.

Beliau turut menasihatkan Perdana Menteri supaya menegur menteri-menteri supaya tidak menjawab panggilan telefon ketika sidang media diadakan, kerana malu dilihat umum dan imej menteri juga perlu dijaga.

“Akhir sekali, berhentilah “witch hunting”. Jika perlu, bagi arahan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya kaji kontrak-kontrak yang dianugerahkan oleh pentadbiran dahulu. Bagi masa dua minggu. Jika ada yang meragukan, biar SPRM siasat.

“Yang penting, Datuk Seri jangan campur urusan siasatan dan seeloknya, jangan buat apa-apa kenyataan pun. Serah kepada KP SPRM. Bukan apa, kalau banyak buat kenyataan jadilah macam sekarang ni. Mula-mula 600 bilion, lepas tu puluhan bilion, kemudian 7 bilion. Ada kenyataan pasal dana politik daripada syarikat judi pula dan macam-macam lagi,” sindirnya.

Menurutnya, seorang Perdana Menteri bukan sahaja tidak boleh berat sebelah tetapi perlu dilihat tidak berat sebelah dalam membuat keputusan.

“Nanti orang akan kata apa Perdana Menteri ni? Macam ‘caca marba’ dan ada dendam peribadi. Ini tak baik untuk imej Perdana Menteri.

“Kalau tidak nanti katakan ada pendakwaan, orang akan kata ianya berasaskan politik dan pendakwaan terpilih. Kan tak elok tu?” katanya. – Malaysiapost

Komen