Pemimpin perlu muhasabah diri, kembali menyatukan umat – Khairuddin

Pemimpin perlu muhasabah diri, kembali menyatukan umat – Khairuddin

BEKAS Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman menasihati pemimpin politik supaya bermuhasabah diri dan kembali bergerak menyatukan umat dalam tempoh pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, prinsip perjuangan politik mesti jelas seperti mana diajar oleh Islam dan dicerminkan Rasulullah iaitu menyatukan umat Islam dan rakyat.

“Pasca PRU inilah wajar setiap pihak bermuhasabah dan kembali bergerak menyatukan umat.

“Dan yang terlebih perlu bermuhasabah adalah pemimpin. Pengikut hanya menurut apa yang dikata dan dikota oleh pemimpin,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, untuk menyatukan umat, semua pihak hendaklah bersikap sederhana dalam berpolitik serta berlapang dada dengan perbezaan dan tidak melihat kebenaran hanya ada pada kelompok sendiri sahaja.

“Jika ia gagal dihayati maka berlakulah perpecahan dan pertembungan yang keras dan kasar secara berterusan.

“Jambatan persaudaraan dibakar dengan sindiran dan cercaan melampau tidak berpaksikan akhlak Islam.

“Inilah yang terlihat ketika PRU yang lalu sama ada menerusi ceramah pemimpin dan tulisan di media sosial,” katanya. – Malaysiapost

Komen