Pengundi Padang Serai, Tioman memilih hari ini

Pengundi Padang Serai, Tioman memilih hari ini

SERAMAI 132,955 pengundi berdaftar akan mengundi di Parlimen Padang Serai, Kedah manakala seramai 28,108 pengundi lagi akan mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata sebanyak 46 Pusat Mengundi dan 230 Tempat Mengundi (Saluran) dibuka untuk tujuan pengundian bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai yang turut membabitkan seramai 2,468 petugas yang akan bertugas bagi proses pengundian hari ini.

Menurutnya, Bahagian Pilihan Raya DUN N.42 Tioman pula, sebanyak 17 Pusat Mengundi yang mengandungi 52 Tempat Mengundi akan dibuka membabitkan 506 petugas.

“Pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti tercatat pada aplikasi mySPR Semak.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa berkenaan, pengundi masih bolehengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 6 petang atau waktu yang telah diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, SPR turut mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi hari ini sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“SPR menyarankan kepada pengundi yang positif Covid-19 untuk berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapat maklumat lanjut dan sewajarnya bagi memudahkan urusan pengundian.

“Semua yang terbabit dan hadir pada hari mengundi disaran untuk memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mensanitasi tangan. sepanjang berada di pusat mengundi ,” katanya.

Beliau berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam.

“Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” tegasnya.

Pilihan Raya di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman yang sepatutnya berlangsung pada 19 November ditangguhkan pada hari ini susulan kematian calon di kedua-dua kawasan berkenaan.

Calon M Karupaiya daripada Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai, meninggal dunia pada 16 November dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.

Manakala calon Md Yunus Ramli di DUN Tioman, mewakili Perikatan Nasional (PN), disahkan meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu.

Perebutan kerusi Parlimen Padang Serai kini menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon PH Dr Mohamad Sofee Razak, Datuk C. Sivaraajh (Barisan Nasional-BN), Datuk Azman Nasrudin (PN) dan Hamzah Abd Rahman (Pejuang).

Dua lagi pencabar ialah Mohd Bakhri Hashim, mewakili Warisan, dan calon Bebas iaitu Sreanandha Rao.

DUN Tioman pula menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon PN Nor Idayu Hashim, Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang), Sulaiman Bakar (Bebas) manakala Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) mengumumkan memberi laluan kepada calon BN tetapi namanya masih tertera di kertas undi. – Malaysiapost

Komen