PN rampas Padang Serai, menang majoriti 16,260 undi

PN rampas Padang Serai, menang majoriti 16,260 undi

PERIKATAN Nasional (PN) berjaya memenangi kerusi Parlimen Padang Serai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung hari ini.

Calon PN, Datuk Azman Nasrudin yang menerima 51,637 undi diumumkan sebagai pemenang selepas mendapat majoriti 16,260 mengatasi calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak yang meraih 35,377 undi.

Dua calon yang menarik diri, Datuk C. Sivaraj daripada Barisan Nasional (BN) dan calon Parti Warisan, Mohd Bakhri Hashim masing-masing turut mendapat 2,983 dan 149 undi.

Manakala, calon bebas, Sreanandha Rao memperoleh 846 undi diikuti calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Hamzah Abd. Rahman yang mendapat 424 undi.

Sebelum ini, Sivaraj dan Mohd Bakhri mengumumkan menarik diri daripada PRU15 bagi memberi laluan dan menyokong Mohamad Sofee.

Keputusan pilihan raya itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai, Datuk Abdul Bari Abdullah di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, jam pada jam 10.50 tadi.

Peratusan keluar mengundi selepas kesemua 46 pusat pengundian ditutup pada 6 petang tadi adalah 68.9 peratus daripada 132,955 jumlah keseluruhan pemilih yang berdaftar.

Kemenangan PN di Padang Serai tersebut sekali gus menyaksikan gabungan itu berjaya menambah bilangan kerusi Parlimen yang dimenangi di seluruh negara pada 19 November lalu kepada 74 kerusi.

PRU15 di Parlimen Padang Serai yang sepatutnya berlangsung pada 19 November ditangguhkan pada hari ini susulan kematian calon di Parlimen itu.

Calon M Karupaiya daripada PH, meninggal dunia pada 16 November dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan. – Malaysiapost

Komen