Senarai timbalan menteri diumum dalam masa terdekat – Anwar

Senarai timbalan menteri diumum dalam masa terdekat – Anwar

SENARAI calon timbalan menteri akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menyatakan demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet mingguan pertama kerajaan perpaduan pimpinannya hari ini.

Semalam, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata proses melantik timbalan menteri dalam kerajaan perpaduan diterajui Anwar dijangka selesai selewat-lewatnya dua minggu lagi.

Menurut Rafizi proses berkenaan sudah bermula dengan gabungan parti politik diminta mengemukakan nama calon sesuai.

Sementara itu Anwar memaklumkan mesyuarat Kabinet di Putrajaya pagi tadi, berlangsung dalam suasana harmoni.

“Alhamdulillah, mesyuarat kabinet mingguan pagi tadi berjalan dengan suasana yang harmoni dan produktif,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebooknya.

Isnin lalu Anwar mempengerusikan mesyuarat Khas Kabinet, antara lain bagi menetapkan cara kerja menteri khususnya berkaitan penjimatan serta tatakelola di kementerian masing-masing.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan isu-isu rakyat terutama masalah kos sara hidup harus diberi tumpuan dan diselesaikan sesegera mungkin.-Malaysiapost

Komen