‘Tauke, syarikat judi hanya layak bersama PH bukan PN’ – Hadi

‘Tauke, syarikat judi hanya layak bersama PH bukan PN’ – Hadi

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa tuduhan bahawa Perikatan Nasional (PN) menerima pembiayaan daripada syarikat judi untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai ‘tidak masuk akal’.

Sebaliknya, Abdul Hadi menegaskan ‘tauke’ dan syarikat perjudian hanya layak untuk bersama Pakatan Harapan (PH) memandangkan prestasi saham syarikat perjudian dilaporkan naik sejurus parti itu mendapat kuasa serta mentadbir negara.

“Hanya akal yang berpusing sahaja boleh menerima tuduhan bahawa tauke dan syarikat judi menyumbang kepada PN. Sedangkan sahamnya (syarikat judi) jatuh menjunam setelah mendapat maklumat kemaraan PN dalam Pilihan PRU15 lalu.

“(Namun) sahamnya hanya naik semula, apabila Pakatan Harapan (PH) mendapat kuasa secara luar biasa daripada amalan demokrasi yang bersih.

“Diikuti pula dengan pembentukan kabinet yang tidak bersih, kerana telah melibatkan bekas banduan walaupun telah diampun dan kluster mahkamah yang belum selesai perbicaraannya,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, kemahuan tauke dan syarikat perjudian hanya ‘selari’ dengan pemberi dan penerima rasuah serta golongan penipu sahaja.

“Adalah tidak masuk akal tauke dan syarikat judi menyumbang kepada kumpulan yang terdapat di dalamnya yang dituduh sebagai Taliban, pihak yang paling agresif merobohkan pusat judi dengan ganas.

“Apabila PAS memerintah Kelantan, maka langkah menutup tempat perjudian diambil dan diadakan dialog dengan para pemimpin semua agama. Mereka memaklumkan bahawa judi turut diharamkan semua agama,” katanya.

Jelas Abdul Hadi lagi, apabila kerajaan negeri ditadbir PAS seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah mengambil tindakan menutup premis judi, pihaknya mendapat protes daripada parti komponen PH.

“Walaupun dalam perkara (menutup premis judi) yang hanya berkait dengan hak umat Islam. Malangnya, mereka yang berwajah Islam dalam PH diam membisu,” katanya.

Abdul Hadi berkata, PAS turut mendepan cabaran dalam mengendalikan isu premis judi apabila bidang kuasa kerajaan negeri hanya terhad kepada premis perjudian.

“Lesen kebenaran berjudi adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan Menteri Kewangan pada masa itu ialah Perdana Menteri sekarang yang dilantik oleh PH, merangkap Menteri Kewangan juga,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan cabutan khas. – Malaysiapost

Komen