Berapa lama kerajaan PH-BN boleh bertahan? – Chegu Bard

Berapa lama kerajaan PH-BN boleh bertahan? – Chegu Bard

JANGKA hayat Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kini dipersoalkan susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Bahagian Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang semalam.

Pemimpin Perikatan Nasional (BN) Johor, Badrul Hisham Shahrin, berkata persoalan itu timbul berdasarkan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan selepas PH memenangi PRU-14.

“Kerajaan PH selepas PRU-14 menang besar dua PRK (Sungai Kandis dan Port Dickson) namun kalah siri PRK sebelum 22 bulan jatuh.

“Kerajaan PH-BN lepas PRU-15 ini baru beberapa hari bentuk Kabinet terus kalah besar di Padang Serai dan cuma menang tipis sangat di Tioman, maka berapa bulan kerajaan ini boleh bertahan?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga dikenali dengan panggilan Chegu Bard, turut berpendapat barisan Kabinet yang dilantik bakal mendatangkan masalah kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Lebih lagi dengan Menteri yang kelakar…Rafizi (Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli) dihimpit wartawan terus bangun nak jumpa Anwar dan siap ugut suruh wartawan jawab dengan Anwar nanti… begitu juga Fahmi (Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil) tak kurang kelakar panggil wartawan sidang media tapi jawab telefon terus nak tinggalkan wartawan,” katanya sinis.

Terdahulu keputusan pilihan raya Parlimen Padang Serai, semalam menyaksikan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin yang menerima 51,637 undi dan diumumkan sebagai pemenang dengan majoriti 16,260 mengatasi calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang meraih 35,377 undi.

Sementara itu, bagi DUN Tioman, BN mempertahan kerusi tersebut dengan majoriti 573 undi selepas calonnya Datuk Seri Mohd Johari memperoleh 8,080 undi untuk menewaskan Nor Idayu Hashim daripada PN yang meraih 7,507 undi.

Pilihan raya Parlimen Padang Serai ditangguhkan susulan kematian penyandangnya, M Karupaiya manakala DUN Tioman pula calon PN, Md Yunus Ramli meninggal dunia beberapa jam sebelum hari pengundian 19 November lalu. – Malaysiapost

Komen