Bukan KPDNKSH tetapi KPDN

Bukan KPDNKSH tetapi KPDN

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub, bersetuju kementerian diterajuinya menggunakan singkatan nama KPDN.

Ketua Setiausaha KPDN Datuk Azman Mohd Yusof, berkata penggunaan singkatan nama itu sudah berkuatkuasa bermula 3 Disember lalu.

Menurutnya, pemilihan singkatan nama itu bertepatan dengan peranan utama kementerian berkenaan yang bertanggungjawab dalam mengharmonikan ekonomi negara.

“Antara fungsi utama kementerian ini adalah sebagai peneraju dalam mengawal selia pembangunan ekosistem perdagangan domestik ke arah yang mampan, berdaya maju serta berdaya saing.

“Dalam hubungan ini, ekosistem perdagangan dalam negeri yang mampan akan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia dan secara langsung akan memastikan kesejahteraan para pengguna di negara kita terutamanya dalam menangani agenda peningkatan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, visi, misi dan fungsi kementerian dikekalkan dan tiada sebarang pindaan.

“Ini adalah kerana visi, misi dan fungsi kementerian yang sedia ada adalah selaras dengan fokus utama kerajaan pada masa kini yang melibatkan agenda merancakkan ekonomi negara dan menstabilkan kos sara hidup,” katanya.

Menurutnya, semua urusan berkaitan kementerian itu disarankan mengguna pakai nama dan akronim baru berkenaan.

KPDN yang sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ditubuhkan pada 27 Oktober 1990.

Nama kementerian kemudian bertukar kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada 2009 apabila fungsi dan peranannya diperluaskan untuk mengawal selia sektor francais.

Kementerian itu kembali kepada KPDNHEP pada 2018 selepas pertukaran tampuk pentadbiran persekutuan. – Malaysiapost

Komen