Dana RM600 bilion, tiada apa nak disorokkan – Tengku Zafrul

Dana RM600 bilion, tiada apa nak disorokkan – Tengku Zafrul

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz tidak takut sekiranya dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan salah guna dana RM600 bilion ketika pandemik Covid-19.

Beliau bagaimanapun mengesahkan masih belum dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga jam 2 petang ini.

Tegasnya, tiada apa yang hendak disorokkan berhubung isu berkenaan.

“Tadi media tanya sama ada saya telah dipanggil SPRM untuk memberi keterangan isu RM600 bilion.

“Jawapan saya mudah. Tiada apa yang nak disorokkan.

“Setakat ini SPRM belum hubungi saya,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.

Menurut Tengku Zafrul beliau sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM jika diminta berbuat demikian.

Media melaporkan SPRM dijangka memanggil Tengku Zafrul bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM600 bilion.

Selain Tengku Zafrul, dua lagi akan dipanggil ialah Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Difahamkan, siasatan itu dipercayai berkaitan dakwaan penyelewengan RM600 bilion semasa Muhyiddin menerajui kerajaan, terutama ketika negara berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Kewangan ketika pentadbiran Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, Khairy pula memegang jawatan sebagai Menteri Sains dan Teknologi, sebelum dilantik Ismail Sabri sebagai Menteri Kesihatan pada Ogos tahun lalu.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan sudah membuka kertas siasatan isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu, tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai siasatan berkenaan. – Malaysiapost

Komen