Keputusan di Padang Serai adalah kemenangan rakyat – Azman

Keputusan di Padang Serai adalah kemenangan rakyat – Azman

CALON Perikatan Nasional (PN) Datuk Azman Nasrudin yang memenangi kerusi Parlimen Padang Serai, Kedah, semalam menyifatkan kemenangannya mesej jelas rakyat menolak kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, keputusan itu juga adalah tanda rakyat menolak ‘Kabinet Kleptokrat’ serta membantah perlantikan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi pertuduhan rasuah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Ia juga satu isyarat yang jelas bahawa Perdana Menteri baharu (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kita untuk berhati-hati kerana rakyat sentiasa menghakimi keputusan yang dibuat oleh beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Azman bersyukur atas kemenangannya dengan majoriti besar dan menyifatkannya sebagai satu kemenangan buat rakyat Malaysia.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan pucuk pimpinan PN terutama Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk menjadi calon di Padang Serai.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada pengundi-pengundi di Padang Serai kerana memilih saya sebagai wakil rakyat Padang Serai.

“Kepada jentera PN Padang Serai, PN Kedah termasuk Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta kepimpinan dan jentera dari Semenanjung yang turut sama berkempen di Padang Serai. Saya sangat terharu dan berterima kasih.

“Saya beraspirasi untuk bersama dengan Tan Sri Muhyiddin dan wakil rakyat lain yang dipilih oleh rakyat pada PRU-15 ini untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dan memantau tindak tanduk Kerajaan Campuran PH-BN,” katanya.

Beliau juga berjanji akan membawa aspirasi suara warga Padang Serai di Parlimen dan memastikan suara serta hak warga Padang Serai akan sentiasa terjamin. – Malaysiapost

Komen