Menteri GPS dapatkan input daripada Premier Sarawak

Menteri GPS dapatkan input daripada Premier Sarawak

EMPAT daripada lima Menteri Persekutuan dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg, petang ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah, berkata kunjungan itu bertujuan untuk mendapat hala tuju daripada kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Sarawak dan GPS berhubung fokus utama kelima-lima Menteri GPS.

Menurutnya, selain itu ia bagi mendapatkan panduan dari segi apakah keutamaan yang perlu diberi tumpuan untuk Sarawak.

“Keduanya, untuk kita memberikan taklimat berhubung status Kerajaan Perpaduan yang telah ditubuhkan dan hasil perbincangan di peringkat Kabinet.

“Dari situ kita akan berbincang bagaimanakah peranan kita dari GPS di peringkat Persekutuan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kami perlu balik ke Sarawak berjumpa kepimpinan Kerajaan Negeri, untuk mendapatkan arah panduan daripada kepimpinan GPS, bagaimana kita hendak meletakkan perjuangan untuk Sarawak dan untuk Malaysia,” katanya di Facebook, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, berkata beliau bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang pulang ke Kuching hari ini.

Menurutnya, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri telah pulang ke Kuching malam tadi, manakala Menteri Pelancongan Datuk Seri Tiong King Sing tidak dapat pulang kerana sudah ada komitmen lain, menghadiri taklimat seluruh agensi pelancongan.

“Saya sebagai Timbalan Perdana Menteri telah diamanahkan oleh Perdana Menteri untuk menyelesaikan tunggakan tuntutan berhubung MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dalam tempoh sebulan. Tumpuan utama saya adalah untuk membincangkannya di peringkat kerajaan negeri.

“Saya juga telah meminta Datuk Armizan Mohd Ali (Menteri Hal Ehwal Sabah Sarawak) untuk berjumpa Ketua Menteri Sabah untuk melihat keutamaan bagi Sabah dan juga Sarawak yang boleh diselesaikan dalam tempoh sebulan ini, insya-Allah.

“Selebihnya, kita akan melihat dulu, mungkin terpaksa dibawa ke Dewan Rakyat. Mana yang sudah dibincang dan boleh dimuktamadkan kita akan usaha muktamadkan dalam tempoh sebulan ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen