Padang Serai: Umno perlu akur, rancang strategi dekati rakyat

Padang Serai: Umno perlu akur, rancang strategi dekati rakyat

UMNO perlu akur dan menjadikan keputusan Parlimen Padang Serai sebagai iktibar untuk menilai semula kelemahan, memperbaiki dan merancang strategi meraih kepercayaan rakyat bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, tahun depan.

Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata waktu ini adalah masa terbaik untuk menilai semula kekuatan yang ada dan memastikan sinergi antara rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan dapat dimaksimumkan.

“Parlimen Padang Serai menyaksikan kemenangan berpihak kepada Perikatan Nasional (PN). Kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) walaupun disokong rakan parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan perlu diterima dengan hati terbuka.

“Kekalahan di Padang Serai bukan indikator terbaik untuk merumuskan penolakan rakyat terhadap gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) kerana di DUN (Dewan Undangan Negeri) Tioman kerjasama PH-BN ini telah berjaya menzahirkan kemenangan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, calon PN, Datuk Azman Nasrudin yang menerima 51,637 undi diumumkan sebagai pemenang Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 mengatasi calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang meraih 35,377 undi.

Sementara itu, bagi DUN Tioman, BN mempertahan kerusi tersebut dengan majoriti 573 undi.

Calon BN, Datuk Seri Mohd Johari memperoleh 8,080 undi untuk menewaskan Nor Idayu Hashim daripada PN dengan 7,507 undi.

Sementara itu, Shaiful Hazizy berkata, jika dibandingkan dengan di DUN Tioman, pengumuman kerjasama di Padang Serai dibuat agak lewat dan menjadi faktor pengundi terkeliru sekali gus tidak mendapat maklumat menyeluruh mengenai kerjasama PH-BN.

Ujarnya, situasi itu ditambah dengan gelombang yang ditiup pihak lawan yang membawa sentimen perkauman, keagamaan sempit yang menakutkan masyarakat dan rakyat dalam berpolitik.

“Apa jua keputusan, fokus dan tumpuan kini perlu diberikan kepada PRN Kedah yang akan berlangsung pada tahun hadapan.

“Saya yakin dan percaya, melalui perangkaan strategi awal yang berkesan ditambah dengan usaha turun padang serta menyantuni akar umbi bagi menerangkan kekuatan kerjasama parti didalam Kerajaan Perpaduan, InshaAllah angin perubahan mampu dilakukan di negeri Kedah ini pada PRN akan datang,” katanya. – Malaysiapost

Komen