PM wajar lantik Ahli Parlimen pelbagai etnik sebagai Timbalan Menteri

PM wajar lantik Ahli Parlimen pelbagai etnik sebagai Timbalan Menteri

AHLI Parlimen daripada pelbagai etnik di Sarawak wajar dilantik sebagai Timbalan Menteri dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata ramai Ahli Parlimen berkenaan yang berkebolehan dan sudahpun berkhidmat selama beberapa penggal sebagai wakil rakyat dan senator.

“Saya menyokong penuh cadangan agar lebih ramai Ahli Parlimen daripada etnik Dayak dilantik sebagai Timbalan Menteri di dalam barisan Kerajaan Perpaduan ini.

“Barisan pemimpin daripada etnik minoriti seperti Bidayuh, Lun Bawang, Kayan/Kenyah, Melanau serta Iban ini juga harus diberikan peluang untuk bersama-sama terlibat dalam Kerajaan ini.

“Hampir kesemua mereka pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri dan salah seorang daripada mereka juga pernah dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, atas dasar itu, pengalaman luas barisan pemimpin terbabit perlulah dilihat sebagai pertimbangan untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Tidak dilupakan, Ahli Parlimen daripada komuniti Cina Sarawak juga perlu diberi peluang untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri, termasuklah calon daripada parti DAP.

“Formasi sebegini akan mencerminkan perpaduan di kalangan pemimpin berbilang kaum di negara ini di bawah
pentadbiran ‘Kerajaan Perpaduan’,” katanya.

Beliau berkata, antara Ahli Parlimen yang boleh diberi pertimbangan termasuklah Datuk Willie Mongin, (Puncak Borneo-Bidayuh), Datuk Henry Sum Agong (Lawas-Lun Bawang), Datuk Hajah Hanifah Tun Abdul Taib (Mukah-Melanau), Datuk Anyie Ngau (Baram Kayan/Kenyah), Datuk Wilson Ugak Kumbong (Hulu Rejang-Iban) dan Datuk Seri Sophia Brodie (Sri Aman-Iban).

Beliau bagaimanapun memahami Perdana Menteri mempunyai hak untuk memilih dan memutuskan sesiapa sahaja yang dirasakan layak untuk menjawat jawatan Timbalan Menteri.

“Walaubagaimanapun, sebagai pemimpin yang mewakili etnik Dayak di dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), adalah menjadi tanggungjawab saya untuk membawa sentimen dan harapan masyarakat Dayak Sarawak ke Kerajaan Pusat.

“Saya percaya Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, yang juga Pengerusi GPS, berkongsi pandangan yang sama dengan saya mengenai perkara ini.

“Kejayaan cemerlang Abang Jo dalam menerajui Sarawak adalah kerana gaya dan citarasanya yang inklusif dan tentunya pemahaman sepenuhnya tentang hakikat bahawa Sarawak adalah negeri yang sarat dengan kepelbagaian meliputi aspek kaum, bahasa, budaya, agama dan komposisi,” katanya.

Beliau juga percaya dengan kebijaksanaan Perdana Menteri dalam memperhalusi dan mempertimbangkan perkara berkenaan.

“Harapan saya, siapapun dipilih haruslah mengambil amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti demi memastikan agenda pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya. – Malaysiapost

Komen