Rafizi teliti keadaan ekonomi semasa, unjuran minggu ini

Rafizi teliti keadaan ekonomi semasa, unjuran minggu ini

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli akan meneliti keadaan semasa ekonomi negara dengan melihat semula unjuran dikeluarkan agensi awam dan swasta sebelum ini.

Menurutnya, penelitian itu penting untuk menyusun perancangan kementerian berkenaan dalam tempoh enam bulan.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan berbincang dengan semua pegawainya untuk mendapatkan pandangan mengenai program yang memberi kesan meluas dan pantas kepada pertumbuhan ekonomi.

“Apa keutamaan minggu pertama. Kenali dengan dekat semua pegawai tertinggi Kementerian Ekonomi. Mereka pasukan saya dan nadi memperbaiki ekonomi.

“Kami akan mendalami kedudukan ekonomi sekarang dan unjuran-unjuran.

“Ini akan membolehkan kementerian menyusun perancangan untuk enam bulan, iaitu menyusun program-program impak besar dengan cepat,” ciapnya di Twitter hari ini.

Terdahulu, Rafizi turut mengucapkan terima kasih atas komen dan pandangan pengguna Twitter mengenai politik dan ekonomi.

“Saya mendengar dan mengambil kira semua. Ada yang boleh dilaksana segera. Ada yang akan disusun segera,” katanya.

Rafizi mengangkat sumpah sebagai Menteri Ekonomi pada 3 Disember lalu. – Malaysiapost

Komen