Royalti lagu ‘hoi hoi ya hoi’ diserah kepada waris P Ramlee – Altimet

Royalti lagu ‘hoi hoi ya hoi’ diserah kepada waris P Ramlee – Altimet

SEMUA royalti lagu Aduh Malaysia (Siapa sokong penyamun) yang trending ketika kempen PRU15 lalu, diserahkan kepada waris seniman agung Tan Sri P Ramlee.

Penyanyi dan pencipta lagu tersebut, Altimet berkata, hak lupus royati itu akan berakhir 50 tahun lagi.

“Sebenarnya saya lepaskan semua royalti lagu ni kepada waris Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

“2022 antara tahun terakhir untuk waris-warisnya dapat hasil harta intelek dia.

“Hak ni lupus 50 (tahun) selepas pencipta meninggal. Lagi ramai orang nyanyi lagi banyak mereka dapat. Jadi Terima kasih semua,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Altimet yang juga Ketua Cabang PKR Ampang berkata demikian ketika membalas ciapan seorang pengikut yang menggunakan akaun Syazihan.

Dalam ciapannya, Syazihan meminta Altimet menuntut royalti daripada Perikatan Nasional (PN).

Ia selepas penyokong PN menyanyikan lagu itu bagi meraikan kemenangan calon PN Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin semalam.

“Altimet jangan lupa claim royalti kat PN guna lagu sempena kemenangan calon #PerikatanNasional di #PadangSerai #PRU15,” ciap Syazihan.

Lagu Aduh Malaysia (Siapa sokong penyamun) dicipta dan diubah liriknya dari lagu asal 40 Penyamun ciptaan P Ramlee.

Lagu nyanyian Altimet kemudian digunakan dalam kempen Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 lalu yang ditujukan kepada pemimpin Barisan Nasional (BN). – Malaysiapost

Komen