SPR diminta adakan pilihan raya pada hari cuti

SPR diminta adakan pilihan raya pada hari cuti

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) diminta mengadakan pilihan raya pada hari cuti atau Sabtu bagi memudahkan pengundi pulang ke kampung menunaikan tanggungjawab mereka.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ini kerana peratusan keluar mengundi sangat rendah sekiranya dilakukan pada hari biasa atau bekerja.

“Pada masa akan datang, saya mahu SPR memikirkan untuk mengadakan pilihan raya pada hari cuti terutama Sabtu, memandangkan peratusan keluar mengundi sangat rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

“Sebahagian besar pengundi bekerja di Kuala Lumpur yang mana jarak jauh menyukarkan mereka pulang,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook.

Menurut Tuan Ibrahim, kira-kira 57 peratus yang keluar mengundi di DUN Tioman tidak mencerminkan kehendak sebenar pengundi.

“Kita berharap SPR dapat mempertimbangkan supaya Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Kecil diadakan pada cuti umum,” katanya.

Terdahulu, beliau mengucapkan tahniah kepada semua jentera parti di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman yang menunjukkan kerjasama kukuh sepanjang tempoh berkempen.

“Tahniah kepada petugas parti, penyokong di Parlimen Padang Serai kerana menang dengan majoriti lebih 16,000. Kepada petugas DUN Tioman, walaupun gagal namun berjaya mengurangkan peratusan majoriti sebelum ini,” katanya.

Jelasnya, ia isyarat jelas penolakan rakyat terhadap kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Terima kasih juga kepada pihak keselamatan dan SPR kerana berjaya mengendalikan pilihan raya dengan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Calon PN, Datuk Azman Nasrudin menang kerusi Parlimen Padang Serai selepas mendapat 51,637 undi dengan majoriti 16,260 mengatasi calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang meraih 35,377 undi.

Bagi DUN Tioman, calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain diumumkan pemenang selepas memperoleh 8,080 undi menewaskan calon PN, Nor Idayu Hashim dengan majoriti 573 undi. – Malaysiapost

Komen