SPR pertimbang tempoh lebih 60 hari adakan pilihan raya selepas bubar

SPR pertimbang tempoh lebih 60 hari adakan pilihan raya selepas bubar

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sedang melihat kemungkinan memanjangkan tempoh untuk mengadakan pilihan raya melebihi 60 hari selepas pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, ia bagi membolehkan suruhanjaya itu melakukan persiapan sebaik mungkin berikutan pertambahan jumlah pengundi yang ramai setiap tahun.

“Kita akan cuba panjangkan lagi sebab tempoh sekarang ini (60 hari), agak sempit (suntuk) sikitlah dengan jumlah pengundi yang banyak iaitu daripada 14.9 juta sebelum ini meningkat kepada 21.1 juta.

“Kita juga kena ingat pengundi berusia 18 tahun ini tiap-tiap tahun akan bertambah sebanyak setengah juta,” katanya pada sidang media malam tadi, lapor Bernama.

Terdahulu, beliau hadir ke pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 bagi Parlimen Padang Serai di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech.

Menurut Abdul Ghani, antara persiapan yang perlu dilakukan SPR termasuk menyediakan pusat dan saluran mengundi serta petugas.

Dalam pada itu, beliau berharap pilihan raya bagi enam negeri yang belum diadakan iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan dapat dilaksanakan secara serentak bagi memudahkan urusan SPR.

“Ia akan memudahkan petugas kita, memudahkan kita membuat penyelarasan, itu yang terbaik tapi dari segi kos, sama juga,” katanya.

Ditanya waktu yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya tersebut, Abdul Ghani berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa dalam hal itu dan ia terpulang kepada kepimpinan negeri terbabit.

Katanya, pilihan raya bagi keenam-enam negeri dianggarkan menelan belanja kira-kira RM450 juta.

Abdul Ghani berkata, secara keseluruhan, proses pengundian bagi Parlimen Padang Serai di Kedah dan DUN Tioman di Pahang berjalan lancar dengan peratusan keluar mengundi agak baik. – Malaysiapost

Komen