4 MP Bersatu dari GRS tak hadir perjumpaan bersama Muhyiddin

4 MP Bersatu dari GRS tak hadir perjumpaan bersama Muhyiddin

SERAMAI empat ahli Parlimen Bersatu yang berada dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak hadir perjumpaan dengan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di ibu negara semalam.

Perkembangan itu menguatkan lagi spekulasi mengaitkan mereka bakal meninggalkan Bersatu dan memilih keahlian terus dalam GRS yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menerusi hantaran di Facebooknya semalam berkongsi mengenai pertemuan tersebut yang dihadiri 31 ahli Parlimen Bersatu.

“Perjumpaan ahli-ahli Dewan Rakyat Bersatu berjumlah 31 (sepatutnya 35 kalau ambil kira ahli Parlimen Bersatu dalam GRS) bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pertama kali dapat berhimpun khususnya selepas kemenangan YB Cikgu Azman (Padang Serai) semalam.

“Insha-Allah kami akan jadi pembangkang yang baik bersama rakan-rakan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Spekulasi mula berlegar sejak beberapa hari lalu selepas kedudukan wakil rakyat Bersatu di Sabah kerana parti itu adalah komponen PN yang menjadi pembangkang pada peringkat Persekutuan.

Ia berikutan Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, menyatakan sokongan kepada Anwar serta Kerajaan Perpaduan, baru-baru ini.

Sokongan Hajiji itu turut disahkan Anwar, malah wakil GRS daripada Bersatu Sabah, Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar, dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan. – Malaysiapost

Komen