Anwar masih punyai mentaliti pembangkang populis – Wan Saiful

Anwar masih punyai mentaliti pembangkang populis – Wan Saiful

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berhenti daripada mempunyai mentaliti pembangkang populis.

Beliau berkata, sebaliknya sebagai Perdana Menteri, Anwar seharusnya dapat membezakan keutamaan apabila sudah menjadi kerajaan.

“Sekarang ini rakyat resah, kecewa dan marah dengan masalah kekurangan bekalan serta lonjakan harga telur dan simen.

“Dua isu ini bukan baru bermula semalam. Sepatutnya, siapa juga menjadi kerajaan selepas PRU15, inilah keutamaan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya menerusi Facebook.

Wan Saiful berkata, sepatutnya isu berkaitan telur dan simen yang menjadi keresahan rakyat itulah yang perlu menjadi keutamaan Anwar.

“Rakyat berdepan dengan isu kekurangan bekalan telur dan harganya melambung. Harga makanan menggunakan telur pun ikut naik. Contohnya laporan berita mengatakan harga roti canai telur naik dari RM2.50 ke RM3.20. Naik 70 sen.

“Simen pula melonjak 30 peratus iaitu daripada RM17 bagi setiap beg 50kg, sekarang naik sehingga RM22.50. Jika simen naik harga, semua bahan binaan melibatkan simen akan turut naik. Padahal, simen adalah Barangan Kawalan Berjadual yang tak sepatutnya naik,” katanya.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berpandangan, kenaikan kedua-dua barangan tersebut adalah disebabkan monopoli dan permainan licik ‘tauke-tauke’ kaya yang menguasai industri makanan dan pembinaan.

“Yang jadi mangsa ialah rakyat dan kontraktor terutama kontraktor kecil.

“Telur dan simen sepatutnya menjadi keutamaan Anwar Ibrahim. Tapi Anwar utamakan beras. Ya harga beras penting, tapi kenapa masih tak ada idea bagaimana nak selesaikan masalah harga telur dan simen yang lebih mendesak sekarang?,” katanya.

Menurut Wan Saiful lagi, permasalahan itu berlaku kerana Anwar tidak dapat membezakan keutamaan kerana terlalu banyak bermain wayang, namun hakikatnya Presiden PKR itu didakwa sebagai ‘tong kosong’.

“Tak adakah keinginan nak tegur tauke-tauke kaya ‘tertentu’ dalam industri berkaitan telur dan simen? Itu sepatutnya jadi keutamaan kerajaan.

“Saya setuju jangan ada monopoli tetapi letaklah keutamaan yang betul dan jangan lindungi tauke-tauke kawan-kawan PH-DAP daripada ‘teguran’. Jangan pilih bulu.

“Wahai Pak Syeikh (Anwar), itu belum lagi saya tanya mengenai harga minyak. Berapa kali esok yang Pak Syeikh perlukan untuk turun harga minyak?,” katanya. – Malaysiapost

Komen