Batal projek banjir, Anwar lengah usaha lindungi kebajikan rakyat – Dr Afif

Batal projek banjir, Anwar lengah usaha lindungi kebajikan rakyat – Dr Afif

TIMBALAN Ketua Bahagian Bersatu Shah Alam, Dr Afif Bahardin menyifatkan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim membatalkan projek tebatan banjir sebagai melengah-lengahkan usaha melindungi kebajikan rakyat dan negara.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya berkata, tindakan Perdana Menteri itu juga berniat jahat terhadap Perikatan Nasional (PN) yang didakwa tidak mematuhi prinsip ketelusan berhubung projek ketika pemerintahan mereka sebelum ini.

“Saya percaya ketika perbincangan projek tebatan banjir berlaku semasa pentadbiran PN, semua prinsip ketelusan dan peraturan masih dipatuhi tetapi proses perbincangan dipercepatkan kerana isu perubahan iklim terutamanya banjir adalah isu yang sangat mendesak.

“Pembatalan kelulusan dibuat Anwar bukan sahaja melengah-lengahkan usaha melindungi kebajikan rakyat dan negara tetapi juga berniat jahat terhadap PN yang didakwa tidak mematuhi prinsip ketelusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Afif ketika tragedi bah besar pada Disember tahun lalu, Shah Alam menjadi lokasi paling teruk terjejas dengan kerugian mencecah RM6.1 bilion, yang mana Pakatan Harapan (PH) di Selangor sendiri mempertimbangkan untuk mengisytiharkan darurat iklim.

Justeru, katanya, apabila PH menjadi Kerajaan Persekutuan adakah pertimbangan darurat iklim sudah tidak dipedulikan dan mereka mahu mendahulukan karenah birokrasi.

Dr Afif turut menyelar Anwar berikutan terma ‘kelulusan’ yang digunakan Anwar tidak tepat kerana bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, beliau belum menandatangani sebarang Surat Setuju Terima (SST) kepada mana-mana pihak untuk meneruskan projek tebatan banjir itu.

“Maka tidak wujud soal membatalkan kelulusan kerana belum ada dokumen hitam putih perundangan mengikat kerajaan dalam projek itu,” katanya.

Beliau juga percaya prinsip ketelusan pentadbiran tidak terjejas ketika PN memerintah, malah ia ditambah baik dengan pengurangan karenah birokrasi kerana Malaysia ketika itu dilanda pelbagai musibah.

“Soalnya sekarang, di bawah pentadbiran PH-Barisan Nasional, adakah kita akan kembali kepada proses bermesyuarat berpanjangan tanpa keputusan segera dalam isu mendesak sehingga menjejaskan kebajikan rakyat dan kemaslahatan negara?,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir yang dilaksanakan melalui rundingan terus tanpa proses tender diteliti semula.

Anwar berkata kelulusan peruntukan itu tidak akan diteruskan dan akan diteliti semula supaya terdapat prinsip ketelusan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan. – Malaysiapost

Komen