Bung Moktar, Zizie Izette gagal semak keputusan mahkamah

Bung Moktar, Zizie Izette gagal semak keputusan mahkamah

AHLI Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad gagal menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintah mereka membela diri terhadap tiga tuduhan rasuah.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid hari ini membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How terhadap permohonan semakan difailkan pasangan itu, lapor Berita Harian.

Azhar berkata, beliau membenarkan bantahan awal pendakwaan selepas meneliti hujahan dikemukakan kedua-dua belah pihak.

Dalam prosiding hari ini, peguam M Athimulan hadir bagi pihak Bung Moktar dan Datuk K Kumaraendran untuk Zizie Izette.

Pada prosiding 17 Oktober lalu, Chin How memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya mengemukakan bantahan terhadap permohonan pasangan idengan alasan semakan berkenaan tidak sepatutnya difailkan melalui notis usul.

Chin How berkata, kaedah pemfailan notis usul yang dibuat adalah salah dan bertentangan Seksyen 35 dan 36 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dibaca bersama Seksyen 325 dan 326 Kanun Acara Jenayah.

Pada 2 September lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tiga tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Bung Moktar, 64, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah diperintah membela diri atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau juga perlu membela diri atas tuduhan ketiga iaitu menerima suapan wang tunai RM335,500 atas sebab sama.

Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memperoleh rasuah membabitkan RM2.8 juta berhubung Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (FELCRA) empat tahun lalu.

Bung Moktar membuat pengakuan itu selepas tiga tuduhan terbabit dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mahkamah kemudian membenarkan Bung Moktar dibebaskan dengan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan beliau turut diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah. – Malaysiapost

Komen