Dana RM600b: Siasatan SPRM tumpu dana kerajaan RM92.5 bilion

Dana RM600b: Siasatan SPRM tumpu dana kerajaan RM92.5 bilion

SIASATAN awal penyelewengan perbelanjaan RM600 bilion mendapati anggaran jumlah peruntukan untuk dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 adalah sebanyak RM530 bilion.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion pula bukan daripada kerajaan.

“SPRM telah menerima daripada Kementerian Kewangan butiran pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang telah dibelanjakan oleh kerajaan pada tahu 2020 dan 2021 berkenaan pengurusan Covid-19.

“Hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan yang terlibat dianggarkan berjumlah RM530 bilion. Berdasarkan jumlah tersebut RM92.5 billion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, fokus siasatan SPRM akan terarah kepada dana sebanyak RM92.5 bilion berkenaan.

Menurut SPRM, Kementerian Kewangan, sedang meperincikan pecahan tersebut dan akan menyerahkannya kepada badan pencegahan rasuah itu minggu hadapan.

Semalam, SPRM berkata, siasatan yang terperinci dan profesional akan dijalankan berhubung dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM600 bilion oleh kerajaan terdahulu.

SPRM memaklumkan, satu kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat dakwaan berkenaan dan meminta individu yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan. – Malaysiapost

Komen