Kes SRC : Najib diberi kebenaran keluar notis pihak ketiga

Kes SRC : Najib diberi kebenaran keluar notis pihak ketiga

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi kebenaran kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengeluarkan notis kepada enam bekas pengarah SRC International Sdn Bhd agar dinamakan sebagai pihak ketiga dalam kes saman AS$1.18 bilion yang difailkan syarikat itu terhadapnya.

Enam individu itu ialah Datuk Suboh Md Yassin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

Sebelum ini, SRC menggugurkan enam individu berkenaan dalam saman itu dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan, lapor Bernama.

Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin memutuskan demikian selepas peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib memohon kebenaran itu dan tiada bantahan daripada peguam A.Thenesh bagi pihak SRC.

Mahkamah mengarahkan notis berkenaan diserahkan kepada individu-individu terbabit dalam tempoh 14 hari selepas notis tersebut dikeluarkan.

Harvinderjit berkata pihaknya akan mengeluarkan notis berkenaan minggu depan.

SRC selaku plaintif mendakwa Najib yang merupakan Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019 telah menyalah guna kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan.

SRC, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan selain faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Najib, 69, kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada Ogos lepas mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC International berjumlah RM42 juta. – Malaysiapost

Komen