Pertukaran Ketua Setiausaha Perbendaharaan perubahan biasa dalam kerajaan – PM

Pertukaran Ketua Setiausaha Perbendaharaan perubahan biasa dalam kerajaan – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan isu pertukaran Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) adalah perubahan biasa dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau berkata, ia tidak berkaitan dengan soal atau khabar angin yang diuar-uarkan dalam media mengenai kedudukan KSP, Datuk Seri Asri Hamidin @ Hamidon sejak beberapa hari ini.

“Ini hanya pertukaran biasa yang juga membabitkan sama ada kenaikan pangkat atau perubahan jabatan dan urusan.

“Wewenang (hak dan kuasa) perbincangan diputuskan oleh penjawat awam yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman senarai Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan, yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen dan platform media sosial, malam ini.

Sebelum ini, media melaporkan timbul persoalan mengenai kedudukan Asri apabila beliau tidak kelihatan ketika majlis sambutan hari pertama Anwar yang juga Menteri Kewangan di Kementerian Kewangan pada Selasa lalu.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kedudukan pegawai tertinggi di beberapa kementerian termasuk ketua setiausaha kementerian yang kini digabungkan menjadi satu, Anwar berkata, ia adalah urusan pentadbiran yang juga dikendalikan Mohd Zuki.

“Urusan pentadbiran KSN akan kendalikan dan uruskan dengan sewajarnya,” katanya lagi.

Sebelum ini, dua kementerian iaitu Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli digabungkan menjadi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Terdahulu, Anwar menyenaraikan 27 orang Timbalan Menteri dalam senarai Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya, malam ini. – Malaysiapost

Komen