Rakyat beri petunjuk jelas tolak pemimpin kleptokrasi – DPIM

Rakyat beri petunjuk jelas tolak pemimpin kleptokrasi – DPIM

PANDANGAN rakyat yang berharap Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggotai ahli politik bebas kes rasuah tidak diendahkan demi kuasa.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan, berkata agak memilukan apabila dunia mentertawakan Malaysia apabila banduan dilantik menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang mempunyai 47 kes mahkamah.

“Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyokong kenyataan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa barisan kabinet caramerba dengan penyertaan Orang Kena Tuduh (OKT) berkenaan penyelewengan dana, adalah suatu perkara yang memalukan.

“Pelabur asing akan menjauhi negara kita kerana ditadbir oleh barisan kabinet yang cacamerba dan hilang integriti dek kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

“Pulangkan mandat kepada rakyat untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri-negeri yang bakal diadakan. Harapnya rakyat memberikan petunjuk yang jelas bahawa rakyat Malaysia menolak pemimpin kleptokrasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrir berkata, DPIM berpandangan dalam pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha meringankan kos sara hidup rakyat, membawa negara keluar dari kemelesetan ekonomi dan memulihkan imej rasuah serta salah guna kuasa.

Katanya, pemilihan barisan kabinet Menteri dan Timbalan Menteri perlu mencerminkan usaha ke arah tersebut.

“Seluruh dunia memerhati keadaan politik negara kita. Rakyat turut memerhati tindak-tanduk janggal pimpinan politik, sebelum dan selepas PRU15.

“Isu pemimpin kleptokrat, kaki rasuah, kaki pembohong dan kluster mahkamah, menjadi tajuk utama ceramah politik,” katanya. – Malaysiapost

Komen