Rosmah mengadu kepada TPM, tak puas hati rawatan diterima Najib

Rosmah mengadu kepada TPM, tak puas hati rawatan diterima Najib

Aiman Hanif

PERTEMUAN antara isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkisar tentang masalah kesihatan dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Menurut sumber Umno, Rosmah “mengadu” dan meluahkan rasa tidak puas hati dengan pihak penjara yang membawa balik Najib ke Penjara Kajang meskipun didakwa belum mendapatkan rawatan dengan sempurna.

“Pertemuan Rosmah dengan Zahid yang juga Presiden Umno malam tadi berlangsung sekitar lima ke sepuluh minit saja.

“Rosmah mengadu tentang tindakan pihak penjara membawa pulang Najib ke Penjara Kajang sedangkan rawatan masih belum selesai.

“Beliau tidak berpuas hati dengan cara pihak penjara, malah keluarga juga tidak dimaklumkan mengenai keputusan membawa Najib kembali ke penjara,” katanya kepada Malaysiapost.

Malam tadi Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dikejutkan dengan kehadiran Rosmah pada jam 8 malam sebelum mesyuarat berlangsung.

Rosmah yang hadir ditemani pengawainya difahamkan mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid sebelum mesyuarat MKT berlangsung.

Pada 30 November lalu, Najib yang juga bekas Presiden Umno sekali dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menerima rawatan.

Najib dikatakan akan membuat rawatan susulan selepas diberi rawatan pada 23 September lalu.

Pada awal September lalu, Najib melakukan perjalanan keluar masuk penjara bagi mendapatkan rawatan di HKL dan Hospital Rehabilitasi Cheras selepas mengalami ulser perut. Malaysiapost

Komen