Saya pula mimpi rumah kita ada api dalam sekam – Isham Jalil

Saya pula mimpi rumah kita ada api dalam sekam – Isham Jalil

SEORANG ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membalas kiasan Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang seakan-akan menyatakan beliau bermimpi ‘rumah Umno’ sedang terbakar.

Menjawab kenyataan Annuar, Isham Jalil berkata beliau juga ada bermimpi semalam yang rumah mereka ada ‘api dalam sekam’.

“Api itu mahu bakar rumah kita supaya kita merempat dan pergi menumpang rumah orang lain.

“Orang lain itu adalah tuan kepada api ini dan dia sudah lama mahu bakar rumah kita dan halau kita keluar dari rumah sendiri.

“Sebelum rumah kita terbakar, kita perlu keluarkan api dalam sekam ini. Baru rumah kita selamat dan keluarga kita bahagia. Semoga Allah SWT merahmati kita semua,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu pagi tadi, Annuar, antara pemimpin yang dikatakan dipecat dalam mesyuarat MKT Umno malam tadi, memberi kiasan, seakan mengesahkan pemecatannya.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Annuar berkata beliau bermimpi rumah pusaka didiaminya terbakar, disyaki disebabkan litar pintas pada suis utama atau wayar putus.

Menurutnya, dalam mimpinya itu, ramai penghuni sudah lari meninggalkan rumah yang terbakar atau dibakar.

“Saya sayang rumah itu. Saya cuba memadam kebakaran supaya jangan lebih ramai penghuninya lari.

“Ketika api masih marak dan ramai yang terus lari meninggalkan rumah, tiba-tiba saya ditarik keluar dari api yg membakar. Kini saya hanya mampu lihat kebakaran dari luar,” tulisnya.

Lewat malam tadi, Malaysiapost melaporkan Annuar antara pemimpin Umno bahagian yang dipecat dalam mesyuarat MKT Umno.

Menurut sumber Umno, mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden Umno bersetuju untuk memecat seorang ketua bahagian dan dua ketua wanita bahagian.

“Pemimpin Umno bahagian yang dipecat ialah Ketua Umno Ketereh, Annuar Musa,” katanya kepada Malaysiapost.

Sementara itu Isham berkata, kenyataan Annuar mengenai mimpi itu mungkin kerana mengimpikan untuk jadi menteri lagi tapi tidak jadi dan tiada rezeki.

“Tidak mengapa, redha sahajalah ketentuan Allah SWT, Dia penentu segala. Kita hanya manusia yang berusaha, jika Allah tidak izin, maka adalah sebabnya.

“Menang itu penting, namun bagaimana kita menang itu lebih penting, jika sumber kemenangan itu tidak berkat, maka kifarah akan bersemuka,” katanya. – Malaysiapost

Komen