Tun Mahathir harap Proton keluarkan kereta elektrik

Tun Mahathir harap Proton keluarkan kereta elektrik

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap syarikat pembuat kereta nasional, Proton dapat mengeluarkan kereta elektrik sendiri pada masa depan.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Proton berkata, kenderaan elektrik menjadi pilihan ramai kerana ia kurang menyebabkan pencemaran.

“Namun kita perlu ingat walaupun kereta tidak mencemarkan udara, bekalan elektrik yang datang dari stesen janakuasa juga mencemarkan udara. Ia masih belum ke tahap bebas pencemaran udara.

“Akhirnya mungkin kita terpaksa guna kereta hidrogen, itupun terdapat juga masalah lain yang perlu diuji dan diselesaikan. Untuk bersihkan iklim dalam bandar, kereta elektrik masih menjadi pilihan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Dr Mahathir, DRB-Hicom telah memperkenalkan kereta elektrik ‘Polestar 2’ kepadanya iaitu sebuah kereta yang diusahakan oleh Geely, rakan usahasama Proton, hari ini.

Jelasnya, kereta itu boleh mencapai sehingga 400 kilometer untuk sekali cas dan hanya mengambil masa kurang dua jam untuk mendapatkan 100 peratus bekalan penuh.

“Sekarang ini tidak susah kerana sudah terdapat lebih 1,000 stesen di seluruh negara. Tidak timbul masalah untuk mengecas kenderaan di mana sahaja.

“Saya harap pihak Proton dapat majukan projek sebegini supaya satu masa nanti Proton juga dapat keluarkan kereta elektrik tersendiri,” katanya.

Beliau berkata, ‘Polestar 2’ itu amat canggih kerana tiada tempat menyimpan enjin yang besar, sebaliknya ia dijadikan tempat penyimpan barang.

“Ciri-ciri reka bentuk dalaman juga kemas dan futuristik, di mana segala kawalan dan tetapan boleh dibuat dengan sentuhan ’tablet’, tiada lagi suis atau tombol di dashboard seperti kereta biasa,” katanya. – Malaysiapost

Komen