Umat Islam diseru hindari perpecahan

Umat Islam diseru hindari perpecahan

KESATUAN merupakan salah satu dari ajaran dan tuntutan Islam yang sangat penting dan menjadi penekanan utama sepanjang zaman.

Teks khutbah Jumaat bertajuk ‘Pelihara Kesatuan, Hindari Perpecahan’ diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini, menegaskan perpaduan menjadi ruh dan tiang rukun dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Dengannya, muncullah semangat kebersamaan, perasaan saling menghormati, mengasihi dan membantu antara satu sama lain.

Oleh sebab itu, Allah SWT memberi peringatan-Nya melalui Surah ali Imran ayat 103 bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuhmusuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam)

“Maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga).

Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.

Berdasarkan ayat ini, Imam al-Baghawi dalam Tafsir al-Baghawi menjelaskan tentang kepentingan kesatuan bahawa bersatu dan menjaga kekukuhan jamaah (kesatuan) merupakan perkara yang sangat ditekankan oleh syariat.

Imam al-Baghawi juga menukilkan kalam daripada Ibnu Mas’ud RA: ‘al-habl itu ialah jemaah’. Ibnu Mas’ud juga berkata: “Wajib atas kamu berjemaah kerana sesungguhnya berjemaah merupakan tali Allah yang dengannya Allah menyampaikan perintah.

Sesungguhnya sesuatu yang kamu benci bersama jemaah dan ketaatan adalah lebih baik berbanding dengan sesuatu yang kamu benci dalam keadaan perpecahan.

Menurut keterangan dari al-Zamakhsyari dalam Tafsir al-Kasyaf, ayat ini merupakan sebuah larangan bercerai-berai sebagaimana yang terjadi pada zaman jahiliyah, iaitu saling bermusuhan antara satu sama lain hingga terjadi peperangan dalam kalangan mereka.

Ayat ini juga merupakan larangan untuk mengucapkan kata-kata yang boleh menyebabkan berlakunya perpecahan.

Sayyid Muhammad al-Maliki dalam Manhaj al-Salaf fi Fahmi al-Nusus Baina alNazhriyah wa al-Tatbiq menyebutkan bahawa Islam diturunkan untuk mengajak umat manusia agar saling mengasihi, mencintai, menyayangi, dan melarang untuk saling berpecah-belah.

Bahkan beliau menyebutkan bahawa bercerai-berai menjadi sebab segala fitnah dan berlakunya musibah.

Bukan itu sahaja, perpecahan, persengketaan dan bercerai-berainya umat hanya melahirkan permusuhan dan kebodohan yang berpanjangan.

Maka oleh sebab itu, Allah SWT memerintahkan supaya mendamaikan sebarang bentuk perselisihan lebih-lebih lagi yang berlaku dalam kalangan umat Islam memandangkan pada hakikatnya setiap mukmin itu bersaudara.

Begitu juga terdapat sebuah hadis yang menggambarkan tentang keutuhan dan kekukuhan persaudaraan sesama umat Islam yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam”.

Suasana harmoni, tenteram dan kesatuan dalam masyarakat pastinya dapat dipelihara jika kita sentiasa menjunjung tinggi adab kesopanan dan kesusilaan.

Kehidupan hari ini sangat berbeza ditambah lagi dengan adanya media sosial yang sangat terbuka tanpa mengira lapisan masyarakat.

Ruang yang ada di laman maya sepatutnya dimanfaatkan untuk mendapatkan maklumat serta tujuan kebaikan yang lain.

Keterbukaan yang ada bukan ‘lampu hijau’ untuk kita menulis, mengulas atau mengomentar sebarang isu apatah lagi menjadi batu api yang melaga-lagakan antara satu sama lain.

Ingatlah bahawa kita bertanggungjawab di akhirat kelak terhadap apa-apa yang kita ucap, yang kita buat, dan yang kita tulis.

Maka janganlah terlampau menuruti hawa nafsu dan amukan emosi dalam setiap urusan dan tindakan. Berfikirlah secara waras dan bertindaklah secara matang dan benar.

Semoga dengan usaha dan tindakan kita yang sentiasa berusaha untuk menyatupadukan seluruh masyarakat berhasil dan berkekalan serta mendapat ganjaran dan keberkatan di sisi Allah SWT.

Marilah kita jernihkan kembali hubungan sesama kita. Tinggalkan perbalahan, tuduhmenuduh, dan pertengkaran yang hanya merugikan kita semua.

Kita buka lembaran baharu dengan suasana hidup yang aman dan bahagia, saling menghormati, memaafi dan mempertahankan antara satu sama lain dalam apa jua situasi. – Malaysiapost

Komen