Umno sah pecat Annuar, 2 pemimpin wanita

Umno sah pecat Annuar, 2 pemimpin wanita

UMNO mengesahkan Tan Sri Annuar Musa, antara tiga pemimpin akar umbi parti yang dipecat keahlian masing-masing dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan, tindakan itu diambil mengikut fasal 10.6 Perlembagaan, yang memberi hak kepada parti untuk melucutkan keahlian mana-mana ahlinya.

Beliau berkata, ia termasuk jika seseorang ahli Umno itu terbukti melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan parti serta perkara mengenai tata etika ahli.

“Dua lagi ahli Umno yang dilucutkan keahlian adalah Ketua Wanita Umno Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin, yang juga isteri bekas Ketua Umno bahagian itu, Datuk Seri Shahidan Kasim.

“Serta Ketua Wanita Umno Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim, yang juga isteri penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

“Pemecatan mereka berkuat kuasa serta merta dengan surat rasmi perlucutan keahlian akan dihantar hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Khatan Perdana Masjid Kampung Jawa Ulu, di Pontian, hari ini.

Semalam, media yang memetik sumber melaporkan Anwar, Shamsiah dan Fatimah antara tiga pemimpin Umno yang dipecat keahliannya selepas diputuskan Mesyuarat MKT parti malam tadi.

Shamsiah dan Fatimah bulan lalu dilaporkan digantung sementara seluruh jawatannya selepas didapati terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sementara, Annuar sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepimpinan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, khususnya berkaitan usaha jajaran baharu antara Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH). – Malaysiapost

Komen