27 Timbalan Menteri angkat sumpah

27 Timbalan Menteri angkat sumpah

SERAMAI 27 Timbalan Menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Semua Timbalan Menteri itu melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia, sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir menyaksikan majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia yang bermula 3 petang.

Dua Timbalan Perdana Menteri, iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, hadir bersama isteri masing-masing.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Semua Timbalan Menteri dalam Kerajaan Perpaduan itu mengangkat sumpah jawatan, susulan pengumuman Perdana Menteri malam tadi.

Pada istiadat itu, Timbalan Menteri itu dibahagikan kepada empat kumpulan dengan kumpulan pertama dimulai oleh dua Timbalan Menteri Kewangan iaitu Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Steven Sim Chee Keong.

Kumpulan itu turut terdiri daripada Datuk Rubiah Wang (Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah); Datuk Siti Aminah Aching (Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi); Datuk Hasbi Habibollah (Timbalan Menteri Pengangkutan); Chan Foong Hin (Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan) dan Datuk Hanifah Hajar Taib (Timbalan Menteri Ekonomi).

Kumpulan kedua pula Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan); Adly Zahari (Timbalan Menteri Pertahanan) dan Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Timbalan Menteri Kerja Raya).

Turut berada dalam kumpulan yang sama ialah Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (Timbalan Menteri Dalam Negeri); Liew Chin Tong (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri); Datuk Mohamad Yusof Apdal (Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi) dan Datuk Arthur Joseph Kurup (Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).

Kumpulan ketiga pula diketuai Aiman Athirah Sabu (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat);Senator Fuziah Salleh (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) dan Ramkarpal Singh (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Selain itu, Datuk Seri Huang Tiong Sii (Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim); Senator K Saraswathy (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi); Datuk Mohamad Alamin (Timbalan Menteri Luar Negeri) dan Khairul Firdaus Akbar Khan (Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya).

Kumpulan terakhir, Teo Nie Ching (Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital); Lim Hui Ying (Timbalan Menteri Pendidikan); Adam Adli Abd Halim (Timbalan Menteri Belia dan Sukan); Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud (Timbalan Menteri Sumber Manusia); Lukanisman Awang Sauni (Timbalan Menteri Kesihatan) dan Datuk Wilson Ugak Kumbong sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas). – Malaysiapost

Kredit foto: Bernama

Komen