Ahmad Maslan balas pantun Steven Sim tanda tamat sengketa

Ahmad Maslan balas pantun Steven Sim tanda tamat sengketa

TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong berbalas pantun sebagai tanda melupakan sengketa antara mereka.

Ahmad yang juga Setiausaha Agung Umno membalas pantun diciap Steven Sim di Twitter, seterusnya bertekad mahu bekerjasama menerajui kementerian itu.

“Pantun untuk @scheekeong: Dayung arah, kota permata, Handal panglima, jadi hikayat, Junjung Titah, lupa sengketa, Ayuh bersama, demi rakyat.

“Kita jumpa di pejabat @MOFmalaysia,” tulisnya.

Sebelum itu, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam dalam ciapan di Twitter ‘menghadiahkan’ sebuah pantun berikrar untuk bekerjasama dengan Ahmad.

“Sekarang dah 2022 nak masuk 2023, kita jalan teruih demi pertiwi.

“Sama-sama dayung bahtera, Dayung arah kota permata, Sama-sama bangun negara, Junjung titah lupa sengketa,” tulisnya.

Pada 2015, Steven Sim membuat ciapan menyatakan tugasnya adalah untuk meruntuhkan kerajaan yang dianggotai oleh Ahli Parlimen Pontian itu.

Ciapan itu menjadi tular semula selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Steven Sim dan Ahmad dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai 27 Timbalan Menteri yang akan membantunya dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Anwar menamakan kedua-dua individu tersebut menjawat portfolio Timbalan Menteri Kewangan. – Malaysiapost

Komen