Bersatu tekad kembali bangkit, kekal di Sabah – Peja

Bersatu tekad kembali bangkit, kekal di Sabah – Peja

BERSATU akan terus kekal di Sabah dan kembali bangkit biarpun pemimpinnya meninggalkan parti itu hari ini, kata Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Timbalan Presiden Bersatu itu berkata, pihaknya akan segera membentuk semula struktur parti yang runtuh di negeri itu.

Kenyataan itu menyusul selepas pemimpin tertinggi Bersatu Sabah, diketuai Datuk Hajiji Noor, mengumumkan keluar parti itu hari ini.

“Pengurusan parti akan segera membentuk struktur yang runtuh di pelbagai peringkat untuk tujuan kembali memperkasakan parti.

“Kita amat yakin dengan penerimaan dan sokongan rakyat kepada Bersatu di seluruh negara termasuk di negeri Sabah. Bersatu akan kekal di Sabah dan akan bangkit daripada situasi ini,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Faizal juga menyatakan dukacita atas pengumuman dibuat Hajiji yang pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun menghormati pendirian ketua menteri itu termasuk pemimpin negeri lain.

Beliau juga menyatakan kekagumannya membabitkan ahli Bersatu yang kekal setia bersama parti itu, selain menegaskan satu hari nanti mereka akan ‘mengenali’ Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa sentiasa memungkiri janji.

Terdahulu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan pagi ini, berkata, keputusan itu dibuat selepas menimbangkan landskap politik negara ketika ini, terutama di Sabah.

Beliau berkata, kerajaan negeri ditunjangi GRS-Barisan Nasional (BN) juga mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Malaysiapost

Komen