Cadangan kembalikan sesi persekolahan bermula Januari ditangguh – KPM

Cadangan kembalikan sesi persekolahan bermula Januari ditangguh – KPM

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil keputusan untuk menangguhkan cadangan mengembalikan permulaan sesi persekolahan kepada Januari.

KPM berkata, keputusan untuk menangguhkan cadangan tersebut susulan mengambil kira aspek terhadap kebajikan guru, murid dan kesan kepada ekonomi negara.

“KPM turut mengambil kira pandangan daripada pemegang taruh untuk mengelakkan peperiksaan SPM diadakan pada November dan Disember kerana bertembung dengan musim tengkujuh.

“Pelaksanaan peperiksaan SPM pada musim tengkujuh boleh menimbulkan tekanan kepada guru, petugas peperiksaan, murid dan ibu bapa terlibat.

“Apabila peperiksaan SPM diadakan pada Februari atau Mac, tempoh menunggu untuk calon terbabit untuk kemasukan universiti juga akan lebih pendek berbanding sebelum ini,” kata KPM dalam kenyataan.

Bagaimanapun, KPM tidak menolak cadangan tersebut kerana berpandangan ia boleh dilaksanakan dengan memendekkan cuti persekolahan secara berperingkat bermula 2023 sehingga 2026 dengan pematuhan kepada jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik.

KPM turut berikrar untuk sentiasa melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalender akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum.

Sebelum ini, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) meminta takwim sesi persekolahan baharu yang dianjakkan kepada Mac sejak tahun lalu dikembalikan semula kepada jadual asal iaitu bermula Januari untuk sesi 2024.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, kerajaan baharu khususnya KPM perlu memulakan usaha untuk mengembalikan sesi persekolahan kepada bulan Januari bagi memudahkan pengurusan agar lebih baik dan terancang.

Katanya, langkah itu perlu dilaksanakan secara berperingkat dan tidak tergesa-gesa bagi memberi ruang kepada ibu-bapa membuat persiapan untuk persediaan pembukaan sekolah. – Malaysiapost

Komen