GRS umum keluar Bersatu

GRS umum keluar Bersatu

GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) mengambil keputusan meninggalkan Bersatu selepas mempertimbang keadaan dan landskap politik negara terutama di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkara itu diputuskan setelah kerajaan negeri yang ditunjangi GRS-Barisan Nasional (BN) mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, Baginda bertitah bahawa antara matlamat utama pembentukan Kerajaan Perpaduan ialah untuk mewujudkan kestabilan politik dan memacu Malaysia ke arah pemulihan ekonomi.

Dalam pada itu Hajiji berkata, beliau dan kepimpinan Sabah akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini, secara kolektif akan menjadi ahli GRS.

Katanya, keputusan sebulat suara ini adalah demi kepentingan Sabah dan perpaduan serta memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

“Dengan keputusan ini, kami akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo di Malaysia. Kami yakin keputusan ini adalah yang terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik di Sabah.

“Sabah mahukan kestabilan politik dan perpaduan. Kami mahu memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan untuk melihat Sabah makmur sejajar dengan mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya lalu.

“Kami mengucapkan setinggi terima kasih kepada Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepimpinan beliau sepanjang tempoh kami sebagai ahli Bersatu,” katanya. – Malaysiapost

Komen