Hajiji tak kenang budi, lupa pengorbanan parti – Wan Ahmad Fayhsal

Hajiji tak kenang budi, lupa pengorbanan parti – Wan Ahmad Fayhsal

ARMADA Bersatu menyifatkan tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengetuai Bersatu di negeri itu keluar parti, sebagai tidak mengenang budi.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan Hajiji itu jelas membuktikan beliau tidak menghargai kesungguhan serta pengorbanan Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, Ketua Menteri Sabah itu juga seolah-olah tidak mengenang kesungguhan barisan pemimpin parti, termasuk Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang sedaya upaya membantu beliau memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Tindakan Hajiji mengepalai gerakan ini hanyalah semata-mata mahu kekal dalam koridor kuasa negeri Sabah, dan tidak lagi memikirkan tentang prinsip-prinsip perjuangan yang pernah dilaungkan dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Machang itu berkata, kekesalan dan kekecewaan lebih terasa apabila mengenangkan segala kudrat dan pengorbanan jentera parti yang telah bertungkus lumus memenangkan PN pada PRN Sabah yang lalu, sekali gus mengangkat Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah baharu.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal turut membidas kenyataan dangkal Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun, yang cuba mengaitkan PN sebagai parti mempromosi politik ekstremis Islam semata-mata.

“Masidi sebagai seorang tokoh dan pemimpin yang beragama Islam adalah disarankan untuk merujuk semula kepada Fasal 6 dalam perlembagaan Parti Bersatu dan Fasal 5 dalam perlembagaan parti PN,” katanya.

Jelasnya, penubuhan Bersatu dan PN bukan untuk mencabul kehormatan dan hak rakyat bukan Islam.

“Kami yakin masih ada sahabat seperjuangan Armada di Sabah yang kekal setia bersama Bersatu, terima kasih diucapkan.

“Kita akan bina semula Bersatu di Sabah,” katanya.

Hajiji hari ini mengumumkan, GRS mengambil keputusan meninggalkan Bersatu, selepas mempertimbang keadaan dan landskap politik negara. – Malaysiapost

Komen