Ketirisan data peribadi 5 juta penumpang AirAsia masih disiasat – Fahmi

Ketirisan data peribadi 5 juta penumpang AirAsia masih disiasat – Fahmi

KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca pencerobohan dan impak keseluruhan insiden ketirisan data peribadi lima juta penumpang dan kakitangan AirAsia yang digodam oleh kumpulan penggodam dikenali sebagai Daixin.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, bagaimanapun perincian kes tidak dapat didedahkan kepada umum buat masa ini bagi mengelakkan implikasi perundangan serta mengganggu siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati serangan siber ke atas sistem pelayan AirAsia yang berlaku pada 12 November 2022 berpunca daripada akses tanpa kebenaran mengakibatkan serangan perisian tebusan (ransomware), berpotensi menyebabkan kebocoran data.

“Pasukan Penyiasatan kementerian yang terdiri daripada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) telah memulakan siasatan dengan mengadakan perbincangan dengan pengurusan Capital A yang merupakan syarikat induk kepada AirAsia pada 1 Disember 2022.

“Susulan daripada perbincangan tersebut, Capital A telah diarahkan untuk mengemukakan dokumen keterangan berserta bukti data berkomputer yang berkaitan dengan siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Fahmi menggesa semua pengguna data sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa dengan memastikan infrastruktur sistem, pangkalan data serta rangkaian dikemas kini dan selamat.

“Selain itu, pengguna data hendaklah menggariskan polisi keselamatan siber dan memastikan polisi tersebut dipatuhi sebagai langkah bagi mengelakkan pencerobohan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, data peribadi seramai lima juta penumpang dan pekerja syarikat AirAsia didakwa mengalami kebocoran selepas digodam kumpulan penggodam dikenali sebagai Daixin.

Menerusi ciapan di Twitter, pemilik akaun @TheFuturizts mendakwa, kumpulan berkenaan berkongsi dua fail yang mengandungi pelbagai butiran peribadi pekerja dan penumpang. – Malaysiapost

Komen