PBM kecewa tiada wakil dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan

PBM kecewa tiada wakil dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan

PARTI Bangsa Malaysia (PBM) kecewa kerana tiada wakilnya dilantik sebagai anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan walaupun menjadi parti terawal menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Presidennya Larry Sng, berkata meskipun kecewa dengan perkembangan itu namun pihaknya tidak mahu membiarkan kepentingan peribadi menghalang kepentingan negara.

“Kita (PBM) akan memainkan peranan untuk mengukuhkan asas kerajaan ini,” katanya menerusi Facebook.

Sng adalah satu-satunya Ahli Parlimen dari PBM dengan memenangi kerusi Julau di Sarawak.

Dalam pada itu, Sng tidak menolak kemungkinan PBM akan bergabung dengan parti lain seperti dirancang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Justeru, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin kanan PBM dalam masa terdekat untuk menentukan hala tuju parti termasuk cadangan bergabung parti lain.

PBM sebelum ini memohon menyertai BN namun tiada sebarang kata putus diberikan selepas PRU15.

Malam tadi, Perdana Menteri mengumumkan pelantikan 27 timbalan menteri.

Anwar berkata, senarai nama itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Pada Jumaat lalu, Anwar mengumumkan pelantikan dua timbalan perdana menteri dan 28 anggota Jemaah Menteri bagi Kerajaan Perpaduan. – Malaysiapost

Komen