Pergi tanah suci berdua, balik seorang, masuk hari ke-7 Pakcik Ibrahim hilang

Pergi tanah suci berdua, balik seorang, masuk hari ke-7 Pakcik Ibrahim hilang

KELUARGA Ibrahim Omar masih menanti khabar berita berkenaan dirinya yang kini sudah seminggu hilang ketika menunaikan umrah di Tanah Suci.

Menerusi perkongsian di Facebook Shila Ibrahim memaklumkan, bapanya berangkat ke Tanah Suci menunaikan umrah bersama ibunya pada 26 November dan sepatutnya pulang ke tanah air pada 9 Disember lalu.

Tambah menyedihkan, ketika menjemput ketibaan ibunya di lapangan terbang KLIA, kelibat bapanya tiada di sisi ibunya meski pun sebelum itu wajah kegembiraan mereka berdua jelas terukir ketika mahu berangkat ke Tanah Suci.

“Pergi Tanah Suci berdua, balik seorang. Ayah saya masih belum dijumpai selepas seminggu berlalu, mak dah balik tanah air tanpa ayah. Allahurabbi hati sedih mengenangkan apa yag berlaku,” katanya.

Shila menjelaskan, usaha mencari bapanya masih diteruskan oleh semua pihak termasuk pihak berkuasa Arab Saudi.

“Kami ‘detect’ melalui GPS ‘handphone’, itu memang membantu jika ‘handphone’ masih berfungsi dan bateri masih hidup.

“Dalam kes ayah saya, ‘charger handphone’ tertinggal di hotel, dalam 3 hari mungkin phone boleh mampu tapi jika sampai seminggu mana lagi yang dapat kita kesan.

“Proses pencarian masih diteruskan, Alhamdulillah terima kasih tak terhingga dari kami sekeluarga,” katanya.

Malaysiapost difahamkan, warga emas berkenaan sudah ditemui namun kesahihan dan perincian lanjut masih belum dapat dipastikan. – Malaysiapost

Komen