PH Pulau Pinang akui perlu kerja keras hadapi PRN

PH Pulau Pinang akui perlu kerja keras hadapi PRN

PAKATAN Harapan (PH) Pulau Pinang akan bekerja lebih keras dan ‘all out’ bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Usaha keras itu perlu dilakukan susulan perubahan angin politik yang dapat disaksikan sejurus selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menjadi indikator penting menentukan keputusan PRN nanti.

Pengerusinya, Chow Kon Yeow, berkata keputusan PRU15 di peringkat Parlimen baru-baru ini memberi gambaran sebenar pilihan pengundi di sesuatu kawasan.

Malah katanya, trend yang ditunjukkan itu juga memungkinkan PH bakal kehilangan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN nanti susulan gelombang kebangkitan penyokong Perikatan Nasional (PN) yang ditunjukkan.

“Pandangan saya adalah berdasarkan kepada keputusan di peringkat Parlimen mengikut saluran pengundian yang boleh memberi satu gambaran sebenar para pengundi di kawasan masing-masing terhadap pilihan yang mereka buat.

“Ini satu indikator memandangkan pilihan raya tidak diadakan secara serentak. Walaupun diadakan serentak, pengundi kadangkala akan menggunakan kebijaksanaan memilih di peringkat Parlimen dan peringkat DUN mungkin tak sama.

“Atau pun mungkin sama, itu terpulang kepada beberapa faktor mungkin parti yang bertanding, calon yang bertanding dan dasar-dasar yang ingin di perjuangkan, semua akan mempengaruhi pilihan pengundi,” katanya seperti dilapor AstroAwani.

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, strategi dan gerak kerja perlu dirangka dan disusun dengan lebih baik agar PRN akan datang membawa keputusan lebih baik.

“Menjelang Januari kita perlu ‘all out’ dari segi mengaturkan strategi menggubal program, buat lawatan mendekati masyarakat di samping berjumpa dengan agensi mencari penyelesaian isu-isu yang kita kumpul semasa kempen PRU,” katanya.

Pada PRU15 Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang hilang dua kubu kuat mereka iaitu Kepala Batas dan Tasek Gelugor apabila berjaya dirampas PN.

Lebih mengejutkan apabila Permatang Pauh yang menjadi kubu kuat PKR sejak 1982 jatuh ke tangan calon PN iaitu Fawwaz Md yang berjaya mengalahkan Nurul Izzah Anwar dengan majoriti 5,272 undi. – Malayiapost

Komen