Projek LCS tetap diteruskan – Tok Mat

Projek LCS tetap diteruskan – Tok Mat

MESKIPUN terpalit dengan kontroversi, Kementerian Pertahanan tetap akan meneruskan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan. Bagaimanapun Mohamad berkata, beliau akan diberi taklimat berhubung isu berkaitan projek bernilai RM9 bilion itu dalam masa terdekat.

“Saya akan mendapat taklimat isu LCS daripada pihak berkenaan agar benar-benar boleh melihat cara untuk bergerak ke hadapan dan memastikan kapal dapat dibina.

“Ini aset dan juga strategi negara, kita akan pastikan apa yang perlu dilakukan. Saya akan berusaha dengan kepemimpinan MINDEF (Kementerian Pertahanan) dalam masa terdekat ini. LCS akan diteruskan,” katanya hari ini.

Pada 2 Oktober lalu, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan pembinaan LCS akan disambung semula selepas semua rundingan dan setiap perjanjian dalam fasa mobilisasi dimuktamadkan penghujung tahun ini.

Menurutnya, selepas fasa mobilisasi itu selesai, semua pihak terbabit mempunyai tempoh 14 bulan untuk memastikan kapal siap dibina.

Kontroversi LCS mula didedahkan apabila Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) melaporkan kerajaan masih belum menerima mana-mana daripada lima kapal LCS walaupun telah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek rundingan terus itu.

Laporan yang dikeluarkan pada 4 Ogos itu turut menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion. -Malaysiapost

Komen