Tiada timbalan, Mohd Na’im hormati keputusan PM

Tiada timbalan, Mohd Na’im hormati keputusan PM

MESKIPUN tiada timbalan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yakin ia tidak membantutkan usaha menjaga hal ehwal berkaitan agama Islam di dalam negara.

Menurutnya, beliau menghormati keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengumumkan pelantikan jawatan timbalan menteri portfolio itu.

“Kuasa lantikan di bawah kuasa Perdana Menteri. Saya hormati apa diputuskan. Tanggungjawab dan amanah akan jadi lebih besar dengan ketiadaan timbalan menteri.

“Kita akan cuba sebaiknya dan pikul tanggungjawab itu.

“Ada kebaikannya, seolah-olah portfolio agama ini penjawat awam yang gerakkan. Insya-Allah, jika kita berjaya gerak, ini menjadi satu isyarat jelas kemampuan penjawat awam,” katanya seperti dilapor Bernama.

Semalam, Anwar mengumumkan pelantikan 27 timbalan menteri, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam pengumuman itu, Anwar tidak menyenaraikan dua timbalan menteri, iaitu di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kementerian Perpaduan Negara. – Malaysiapost

Komen