3 beranak termasuk bayi 2 tahun maut kemalangan

3 beranak termasuk bayi 2 tahun maut kemalangan

PASANGAN suami isteri bersama anak bongsu mereka berusia dua tahun maut dalam kemalangan di Jambatan Tengku Permaisuri Bainun, Sitiawan, Manjung lewat malam tadi.

Kemalangan kira-kira jam 11 malam itu yang membabitkan dua kenderaan turut mengakibatkan dua lagi anak pasangan terbabit cedera.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kemalangan membabitkan lima sekeluarga dalam kereta jenis Proton Saga, di mana tiga daripadanya maut dan dua lagi cedera.

Menurutnya, seorang mangsa wanita yang juga pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Chevrolet pula mengalami kecederaan.

“Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.13 malam dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan bergegas ke lokasi.

“Kemalangan membabitkan dua kenderaan dan mengakibatkan kereta jenis Chevrolet terbakar 80 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, suami isteri masing-masing berusia 33 dan 32 tahun dalam keadaan tersepit di dalam kereta, manakala seorang bayi lelaki berusia dua tahun tercampak keluar dari kenderaan sama.

Beliau berkata, ketiga-tiganya disahkan maut di tempat kejadian da mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.35 malam dan dipadam sepenuhnya pada 11.45 malam serta ditamatkan jam 12.53 tengah malam,” katanya. – Malaysiapost

Komen