Guan Eng saran Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN 

Guan Eng saran Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN 

TAN Sri Muhyiddin Yassin disaran meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) kerana sering membuat tuduhan melulu tanpa bukti kukuh terhadap Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, dakwaan Muhyiddin tidak berasas malah memalukan beliau sebagai bekas Perdana Menteri. 

“Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin harus letak jawatan sekiranya gagal membuktikan dakwaan beliau bahawa kerajaan PH-BN telah melakukan penipuan pilihan raya yang paling besar dalam sejarah Malaysia. 

“Jangan berlagak macam Donald Trump yang buat dakwaan melulu tanpa berasas. 

“Ini bukan sahaja tingkah laku memalukan dan juga tidak harus diamalkan oleh seorang mantan Perdana Menteri,” katanya di Facebook, hari ini. 

Muhyiddin dalam siri ceramahnya ketika berkempen di Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman mendakwa Kerajaan Perpaduan yang tertubuh ini adalah  hasil tipu helah pemimpin BN dan PH sedangkan PN ketika itu telah memiliki 115 sokongan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan. 

Malah, Muhyiddin tanpa segan silu menyindir kononnya peranan ‘bumbung kuning’ juga menyebabkan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar berjaya ditubuhkan. 

“Seharusnya tindakan tegas patut  diambil ke atas fitnah jahat dan penghinaaan beliau ke atas keputusan di Raja melantik Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan YAB Dato Seri Anwar Ibrahim,” kata Guan Eng. -Malaysiapost

Komen