Kekasih Ronaldo salahkan Santos punca Portugal tersingkir

Kekasih Ronaldo salahkan Santos punca Portugal tersingkir

KEKASIH Cristiano Ronaldo, Georgina Rodriguez membidas percaturan yang digunakan pengendali Portugal, Fernando Santos apabila tidak menurunkan bintang itu lebih awal dalam perlawanan suku akhir Piala Dunia menentang Maghribi.

Sebaliknya Goncalo Ramos yang meledak hatrik ketika menentang Switzerland pada aksi pusingan 16 terbaik, diberi kepercayaan oleh Santos untuk menggempur kubu Maghribi, malam tadi.

Ternyata percaturan Ramos itu tidak menjadi kali ini apabila pertahanan Maghribi kebal untuk ditembusi sekaligus berputih mata untuk melangkah ke separuh akhir.

Gol tunggal Youssef En-Nesyri yang dijaringkan dua minit sebelum babak pertama berakhir menyaksikan Ronaldo dan Portugal terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Dunia edisi kali ini.

Ronaldo dimasukkan pada babak kedua namun gagal membantu mengubah nasib pasukannya dan Rodriguez menyalahkan Santos kerana terlalu lambat membuat pertukaran.

Menerusi hantaran di Instagram, Rodriguez membidas Santos yang lambat menurunkan Ronaldo pada perlawanan itu.

“Keputusan jurulatih dan rakan anda adalah salah pada hari ini.

“Orang sama yang membawa anda dalam permainan, yang melihat bagaimana semuanya berubah tetapi sudah terlalu lambat. Anda tidak boleh memandang rendah pemain terbaik dunia, senjata paling hebat.

“Anda juga tidak boleh menyokong seseorang yang tidak layak mendapatkannya. Hidup memberi kita pengajaran. Hari ini kita tidak tewas, kita belajar sesuatu daripadanya,” katanya.

Rodriguez menambah, Ronaldo akan memberi impak positif sekiranya dibenarkan bermain dari minit pertama, namun dia hanya dimasukkan pada minit ke-56, menyentuh bola sebanyak 10 kali dan melakukan satu percubaan yang diselamatkan penjaga gol Maghribi. – Malaysiapost

Komen